Categories
COVID-19 Notice

Penjadualan semula feri Menumbok – Labuan

OPERASI perkhidmatan feri penumpang antara Menumbok ke Labuan dijadualkan semula sebagai langkah menangani penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong berkata, penjadualan semula perkhidmatan feri itu dilaksanakan serta-merta.

“Kita sudah menetap feri Galaxy hanya melakukan perjalanan pada 6 pagi setiap hari dan 4 petang (Ahad sahaja) daripada Menumbok ke Labuan.

“Feri Putrajaya Satu (9 pagi), Kimanis (1 petang) dan Goodwill (8 malam) untuk lokasi perjalanan sama.

“Manakala, bagi laluan perjalanan Labuan ke Menumbok, feri Putrajaya Satu akan memula pergerakan pada 6 pagi, Kimanis (3.30 petang), Goodwill (5.30 petang) dan Galaxy (6.30 petang),” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Penjadualan semula perkhidmatan feri itu dilakukan selepas langkah terbabit diputuskan ketika Mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre, di Kota Kinabalu, hari ini.

Safar berkata, dalam mesyuarat sama turut diputuskan penutupan operasi perkhidmatan bot laju atau penambang daripada Menumbok ke Labuan.

Menurutnya, penutupan terbabit juga dilaksanakan serta-merta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 6:41 PM di laman web Harian Metro.

Categories
COVID-19 Local Events Notice Public Service

Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac 2020

Terkini (23 April 2020)
Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 12 Mei 2020.

Terkini (10 April 2020)
Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 28 April 2020.

Terkini (25 Mac 2020)
Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Ini berikutan trend semasa yang menunjukkan kes-kes positif COVID-19 yang baharu masih berlaku.

Beliau telah mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.

***

Kerajaan Malaysia memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi;

Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaanhendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari;

Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;

Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;

Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan

Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Ucapan penuh: Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai COVID-19 boleh dibaca di https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ucapan-penuh-perutusan-khas-perdana-menteri-mengenai-covid-19-233916